Khamis, 27 Januari 2011

Universiti Utara Malaysia




Mei 2001, aku ditawarkan melanjutkan pengajian peringkat Ijazah dalam bidang Perakaunan di Universiti Utara Malaysia(UUM Sintok). Umpama mimpi menjadi kenyataan, teringat ketika darjah 5 dahulu, aku mengikuti rombongan sekolah ke UUM, rombongan pertamaku ke Universiti, disitulah jatuhnya hatiku pada UUM dan dari situlah jualah bermula harapanku agar suatu hari aku dapat melanjutkan pengajian ke UUM.

Berbekalkan motosikal EX5 lama milik Abah, aku memulakan perjalanan bagi mendaftar masuk sebagai pelajar baru@junior UUM. Ketika itu pelajar - pelajar baru bagi bidang perakaunan tidak terus ke kampus utama di sintok, sebaliknya ditempatkan bagi semester pertama di Taman Siswa, Jitra.

Pertama kali sampai di taman siswa agak terkaku aku melihat suasana pada hari pendaftaran, dengan rata-rata pelajar ditemani keluarga masing - masing pada hari pendaftaran, walaupun dalam hati terselit kesedihan sebab Mak Abah tak dapat hadir sama, namun yang lebih penting Mak Abah mencari rezeki bagi menyara kami sekeluarga..

Meneruskan tekad bermula SPM, Matrikulasi dan kini di peringkat Ijzah di UUM, aku meneruskan dengan azam dan tekad mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik sepanjang pengajianku disini. mungkin agak mustahil atau janggal bagi kebanyakan namun telah lama aku memasang azam apabila sampainya disini aku ingin dan mahu menjadi salah seorang ANAK MELAYU yang mendapat Ijazah kepujian dengan kelas pertama.