Khamis, 31 Disember 2015

Tahun Baru 2016


Berlalu sudah tahun 2015.  Mencabar bagiku menempuh sepanjang tahun yang telah berlalu. Sepanjang tahun aku sering berulang alik ke hospital dan terlantar dalam kesakitan. Aku masih bertarung dengan kaedaan kesihatan. Masih berusaha ikhtiar berubat agar sembuh dan sihat kembali. Nazar aku tahun ini sekiranya aku sembuh dan sihat kembali aku ingin ke tanah suci menunaikan ibadah umrah . Telah lama ingin mengimpikan untuk ke sana, namun masih kekangan dengan kesihatan dan kewangan. In sha Allah mudah-mudahan tahun ini tertunai harapan aku untuk ke sana.

Memasuki tahun baru, harapan yang tertunai aku lihat pada wajah Mak. Rumah Mak hampir siap. Alhamdulillah tercapai impian Mak untuk memiliki rumah yang selesa dan untuk anak-anak... Sepanjang tahun lepas besar harapan Mak untuk menyiapkan rumah, pelbagai ujian dan cabaran yang Mak lalui dengan tabah atas harapan untuk menyiapkan rumah untuk keluarga. Mak sering memikirkan untuk anak-anak. Terpancar kegembiraan di wajah Mak setiap kali melihat anak-anak dan cucu-cucu berkumpul dan keriangan. Aku, pada waktu ini tidaklah punyai kekayaan mahupun wang yang berikat. Namun aku memberi pada Mak dengan yang aku termampu. Harapan, tugas dan tanggungjawab aku hanyalah ingin melihat Mak dengan hati yang tenang dan tersenyum. Aku tidak mahu melihat Mak dalam kaedaan sedih, kerana Mak telah lama dalam kesedihan terutama semenjak peristiwa pemergian Zul..

Abah..., aku memahami dan mendalami harapan Abah dalam perniagaan. Cuma dalam kaedaan sekarang aku masih belum mampu bertindak dan membantu. Harapan ini sejak aku kecil bersama Abah, juga menjadi harapan ketika aku semakin membesar, namun kemalangan yang aku alami membantutkan impian aku untuk harapan Abah. Namun dalam hati aku, suatu hari aku akan mencapai impian dan harapan Abah dalam perniagaan ini. 

Buat insan istimewa, yang selama ini seringkali aku tidak bicarakan. Isteri, yang sangat aku kasihi dan hargai. Berkongsi kasih sayang, ketawa duka, susah dan senang bersama. Besar pengorbanan insan yang bernama isteri ini. Sepanjang aku melalui saat kesukaran, kesusahan dan kesakitan, inilah insan yang menjadi peneman dan pendorong untuk aku terus mengharungi, bangkit dan meneruskan perjalanan ini. 

Semoga tahun 2016 yang datang ini memberi sinar, harapan dan keceriaan baru buat kami sekeluarga. Semoga Mak dan Abah sihat dan diberi kekuatan olehNya. Semoga kami sekeluarga dimurahkan dan dilimpahi rezeki dariNya. Semoga anak-anak pewaris ini membesar dengan baik dan sempurna. Semoga aku, dikurniakan olehNya kesembuhan, kesihatan, kebahagiaan, kekayaan dan kejayaan dunia dan akhirat. Ameen...