Isnin, 23 September 2013

Kesakitan Aku Lalui..

Harini telah hampir 3 bulan aku menahan kesakitan sejak tidak dapat 'pu' normal semenjak melakukan cic. hampir 3 bulan ini aku berulang alik ke hospital serta juga berubat diluar dengan harapan dapat 'pu' normal kembali serta juga dapat sihat walafiat kembali.
Ujian ini datang dengan serta merta, kesakitan yang dialami hampir 3 bulan ini, benar-benar menguji ketabahan dan kesabaran.
Aku masih berikhtiar berubat serta berdoa agar dapat kembali sembuh
Selama hampir 3 bulan ini semenjak aku discharge dari hospital rehab cheras, tidak banyak yang aku bicarakan dengan insan-insan sekeliling kerana seringkali menahan kesakitan yang dialami. Kadangkala terdetik akan tiba masanya...
Kadangkala memerhatikan insan-insan sekeliling membuatkan aku tersenyum juga memberi kekuatan pada diri aku.
InshaAllah moga dan mudah-mudahan ada penawarnya dan akan kembali sembuh, meneruskan perjalanan dan perjuangan ini..:)

Ameen..

Jumaat, 21 Jun 2013

Hari ke 3 CIC

21 Jun 2013 02:05a.m

Harini masuk hari ke 3 aku melakukan cic. Bukan lagi satu pilihan atau penolakan. Satu rutin yang terpaksa mulai kini aku harus lakukan. Hari ke 3 melakukan cic, kaedaan bertambah semakin ok. Sepenuh tumpuan, sepenuh hati-hati, sepenuh ketenangan. Aku berharap dan berdoa dengan melakukan cic ini akan membantu dalam mengurangkan dan memulihkan di saluran ke buah pinggang aku. Aku juga berdoa agar aku diberi lebih masa buat insan - insan sekeliling yang aku sayangi dan cintai serta bagi menunaikan dan melaksanakan amanat dan amanah yang dibawa ini..

"Life is beautiful, Appreciate it.."

Ultrasound

19 Jun 2013, 06:59 a.m

Semalam bukanlah perjalanan yang menggembirakan, Keputusan ultrasound menunjukkan saluran ke buah pinggang sebelah kanan aku membengkak. Doktor mengingatkan tentang risiko kerosakan buah pinggang sebelah kanan aku sekiranya kaedaan sebegini berterusan. Semalam lebih banyak aku berdiam diri, mungkin terkesan dan mungkin juga banyak memikir. Namun seperti yang pernah aku terima, aku memahami dengan kaedaan yang dilalui, segala yang bakal berdepan harus aku terima tenang dan redha. yang penting adalah masa yang berbaki.
Menjelang malam, kaedaan badan aku benar-benar tak stabil, air yang diminum sukar dibuang, perut semakin kembung dan ketat. Mungkin disebabkan ubat yang baru aku ambil pagi tadi, kesakitan pada bahagian pinggang ini sangat dirasai.
Malam ini kali pertama aku melakukan cic sejak bertahun - tahun. Sejak peristiwa di Hospital Alor Setar tahun 2002 yang membuatkan saluran pembuangan air kecil aku berdarah sewaktu pemasangan cic, ini telah menyebabkan lubang terpaksa ditebuk pada bahagian pusat perut aku bagi pembuangan air kecil.
Kali pertama melakukan cic seorang, sampai ke hujung wayar barulah dapat dikeluarkan. Seakan tak kena pada badan aku malam tadi, pagi ni walaupun telah bersiap badan seakan masih tak stabil. Masih belum dapat buang air seperti biasa sejak melakukan cic semalam. bo pun tak seperti kebiasaan.
Mudah-mudahan satgi akan bertambah pulih seperti biasa..

Rutin Harianku Di Hospital

8 Jun 2013,

Semalam aku berkesempatan sekali lagi berbual dengan pakcik Nawawi. Berasal dari Temerloh Pahang. Banyak hari sudah terdetik untuk aku singgah melawat pakcik nawawi yang terpaksa berasingan dari penghuni-penghuni wad 1C yang lain. Pakcik Nawawi mengalami jangkitan pada tulang belakang yang menyebabkannya lumpuh. Hidup bujang tanpa isteri dan anak-anak di usia tua, baru kehilangan adik yang menjaganya selama ini, membuatkan aku tersentuh, memikir dan bersyukur berbanding kesukaran yang lebih dialami oleh Pakcik Nawawi. Kesempatan aku berbual dengan pakcik Nawawi membuatkan aku selesa, tenang dan senyum bersahaja di riak wajah pakcik Nawawi. kadangkala terdetik, bersyukur walau dalam kaedaan sebegini, banyak lagi anugerah yang dikurniakanNya pada diri ini.
Menjadi rutin harian aku disini dan sejak di K9 HKL, singgah melawat dan berbual dengan pesakit-pesakit. Mungkin inilah naluri aku dan kadangkala dengan hanya mendengar itu cukup membantu untuk meluahkan dan berkongsi yang terpendam..

Jumaat, 7 Jun 2013

Sahabat Lama

1.6.2013, Harini sahabat-sahabat lama aku semasa belajar di UUM dahulu sekali lagi datang menziarahi aku. Kali terakhir mereka datang bersama ketika menziarahi aku semasa aku masuk wad K9 HKL 2008. Masih kuat terjalin ikatan persahabatn ini. Alhamdulillah..syukur. Gembira tengok masing-masing dah bekeluarga punya anak-anak, bekalan doa anak yang soleh. Tumpang dan merasai kegembiraan walaupun tidak memiliki. Teringat, zaman muda-muda masa belajar, keloloh, terloncat-loncat seronok zaman muda, sekarang masing-masing lebih cool ja..banyaknya pesoh dengan anak-anak yang comey..:)


2013



2008

Rabu, 29 Mei 2013

24 Sesi Lokomat


Harini kalau diikutkan genap sebulan aku masuk Hospital Rehabilitasi Cheras. Namun ditolak balik sat mengundi PRU ke 13. Jauh perjalanan balik mengundi, dari Kuala Lumpur ke Kelantan ke Perlis..Fuhhh..benar-benar OKU..hehe
Harini dah 5 sesi lokomat yang telah aku lakukan, aku perlu lengkapkan 24 sesi semuanya sebelum dapat balik kampong..;)
1 minggu 3 sesi, maknanya aku perlu tinggal disini sehingga sekurang-kurangnya pertengahan bulan julai, yakni pertengahan Ramadhan..lamanya......:(
Namun sekiranya ini yang sebaiknya, ok ja bagi aku, yang penting bagi betul-betul lengkap rehab
Aku tidaklah meletakkan harapan yang tinggi, dengan apa yang telah dijelaskan oleh doktor-doktor sebelum ini, yang penting aku dapat pulih dalaman aku dan rasa sihat untuk meneruskan perjalanan yang masih panjang nanti. Selebihnya atas kuasa dan ketentuanNya..

Isnin, 27 Mei 2013

Sambung Pengajian Di OUM, Mei 2009

Mei 2009, setelah mula memasuki alam pekerjaan, setelah keluar dari wad K9 HKL, setelah hasrat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang analisis pelaburan di MSU tidak dapat diteruskan. Ketika dan saat ini aku memerhatikan dan merasakan perlunya aku menyambung kembali pengajian. untuk masa hadapan aku perlu menyambung kembali pengajian.
Setelah meneliti dan menilai berberapa pilihann yang ada, Aku memohon melanjutkan pengajian dalam Ijazah sarjana Muda psikologi di OUM. Alhamdulillah, aku menerima tawaran bagi melanjutkan pengajian di OUM bagi semester Mei 2009. Harapan dan impian aku moga suatu hari nanti selepas tamat pengajian, aku dapat meneruskan kerjaya dalam bidang yang aku minati ini yang sebati dan serasi dengan jiwa dan hatiku.

" Harini aku mendaftar di OUM Kedaj Learning Centre Sungai Petani. Setelah hampir 7 tahun kini aku menyambung kembali pengajianku yang tertangguh dahulu. Walaupun masa telah berlalu, bukan lagi di universiti yang dahulu, juga program yang dahulu, aku meneruskan cita-citaku dalam bidang pengajian yang baru, Ijazah psikologi, demi mencapai hasrat dan cita-citaku memperolehi segulung ijazah, mengubah nasib diriku dan masa hadapan melalui ilmu dan pendidikan juga membantu insan-insan yang memerlukan. Semoga aku diberi kekuatan untuk terus mencapai cita-cita dan impianku.."
- catatan diari 16 mei 2009 11:19a.m


Ahad, 26 Mei 2013

Tawaran Kerja Februari 2009

Februari 2009, aku menerima perkhabaran yang benar-benar menggembirakan, memberi sinar dan harapan baru buat diriku. Aku mendapat tawaran kerja di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis. Tidak aku sangka selepas keluar dari Rehab K9 HKL, Didorong oleh gesaan dan sokongan kuat mak, aku mengisi permohonan jawatan melalui SPA dan kemudiannya mendapat tawaran temeduga pada bulan disember 2008. Akhirnya aku mendapat tawaran bekerja di negeri kelahiranku, negeri tempat aku menetap sehingga kini. rezeki buat diriku. Pagi itu sambil memandu selepas mengetahui perkhabaran yang menggembirakan ini, mengalir air mata membasahi pipiku. Dengan segala dugaan dan ujian besar yang dilalui semenjak ini, mungkin inilah harapan dan hikmah yang membuka lembaran baru buat diriku meneruskan perjalanan dan perjuangan hidup ini. Alhamdulillah syukur....

"Assalamualaikum..pagi ini aku menerima khabar gembira, saja aku buka laman web SPA untuk tgk2 kot ada keluar keputusan temuduga. Rupanya ada! Aku lulus temuduga dan mendapat tawaran kerja di S.U.K Alhamdulillah, akhirnya...rasa gembira ini aku kongsi bersama ahli keluarga yang lain. Ni baru lepas call mak n kak. Setelah apa yang aku lalui hingga kini, aku sekarang lebih menghargai apa yang aku perolehi walaupun kecil, Alhamdulillah, syukur padaNya Semoga ini menjadi titik permulaan kembali buatku."
                                                                                                    - Catatan diari 10 Feb 2009, 10:14a.m

Jumaat, 24 Mei 2013

Harini Aku Menjejak 31


Harini genap umurku 31tahun. kali ini menyambut ulangtahun kelahiran di Hospital Rehablilitasi Cheras. Genap umurku 31tahun dilalui dengan dengan pelbagai ujian, dugaan dan perjalanan. Namun bagiku, segala yang dilalui ini bukanlah sesuatu yang merumitkan, sebaliknya aku melihatnya sebagai perjalanan dan nikmat kehidupan yang aku lalui sebelum sampainya masa buat diriku nanti. Kehidupan ini amatlah rugi untuk disia-siakan. Masa yang berlalu adalah untuk dinikmati dan dihargai.
......
.....
.....

Rehab @ K9 HKL 2008


30 Jun 2008, harini aku memasuki wad K9 HKL bagi menjalani pemulihan @ rehabilitasi. Tempias krisis subprima US yang memberi kesan pada diriku, selain bertenang, memulihkan emosi dan mental diriku, harapan disini agar fizikal aku bertambah pulih disamping hasrat ingin kembali menyambung pengajian. Sebelum masuk K9 aku telah memohon dan juga telah mendapat surat tawaran melanjutkan pengajian dalam bidang analisis pelaburan di MSU. Namun aku mohon tangguh kerana menjalani rehab di K9 HKL. Selain itu juga ingin mendapatkan pandangan doktor & fisio berhubung kesesuaian diriku melanjutkan pengajian di MSU. Setelah pihak HKL berbincang dengan MSU, pihak MSU tidak dapat mengubahsuai @ menyediakan kemudahan untuk OKU seperti aku, agak terkilan dengan maklumbalas yang diterima . Aku akhirnya mengambil keputusan untuk tidak menyambung pengajian di MSU.
Sepanjang di K9, banyak mengajar aku erti kehidupan, kesedihan, kegembiraan, kekurangan dan perkongsian.
Latihan fizikal dan rawatan yang aku jalani di K9 banyak membantu pemulihan fizikal diriku walaupun tidak kembali seperti normal, seperti yang telah dijelaskan oleh doktor. Sepanjang di K9 juga banyak mengajar aku untuk mengengar dan berkongsi. Teringat cadangan doktor Tan agar aku menyambung pengajian dan bidang psikologi ataupun kaunseling, membuatkan minda dan hati aku mula terdetik untuk menerokai bidang ilmu psikologi ini.
Alhamdulillah kini selepas 5 tahun cadangan doktor Tan menjadi nyata, aku kini sedang melanjutkan pengajian dalam bidang psikologi di OUM. InshaAllah harapan besar aku, seandainya ada peluang dan kesempatan aku ingin berkongsi kisah-kisah diluar sana yang bersama-sama insan-insan istimewa di luar sana...

Aku & Krisis Subprima US 2007


Teringat krisis subprima US mula berlaku sekitar tahun 2007. Ketika aku  baru mula menceburi diri dalam dunia saham. Berdasarkan dana dari rezeki yang tidak dijangka aku mula membuka akaun CDS melalui OSK Investment Bank. Ketika aku mula memerhati pergerakan saham sekitar tahun 2006 kelihatan semuanya stabil. Namun permulaan aku menceburi bidang saham pertengahan tahun 2007 waktu itu juga bibit permulaan kejutan krisis bermula. Teringat ketika itu aku membeli saham sapura crest dan sewaktu itu aku, zul, aziah, na & haikal ke terengganu, rumah zul (Alfatihah buat Allahyarham Zulkifli bin Mamat).
Sampai saja di terengganu keluar paper berkaitan krisis subprima di US. Mendadak kerugian yang dialami dengan kaunter sapura crest. Namun kerugian ini adalah permulaan dalam kejutan yang lebih besar aku hadapi. Teringat pesanan En Syed di OSK, zam..jangan masuk dulu, tengah krisis di US. namun dalam kegairahan dan harapan untuk berjaya, aku meneruskan perjalanan. Ditengah jalan rupanya jurang yang lebih dalam aku tempuhi..
Berhadapan dengan saham-saham seperti megan media, transmile dan sebagainya membuatkan tersandar dan kadangkala terlentang. Harapan menggunung bertukar menjadi mimpi ngeri. Berterusan hampir 1 tahun, dari dana rezeki tidak dijangka, aku kehilangan hampir keseluruhannya. Terkilan bagi diriku disaat sahabat karibku meminta bantuan untuk menampung kos perubatan anaknya, aku tidak mampu membantunya saat itu. Dugaan yang dilalui ini benar-benar menguji kekuatan mental dan emosiku Dengan peristiwa yang dilalui ini jugalah membuatkan aku mengambil keputusan untuk masuk wad rehab K9, HKL.
Selama hampir 2 tahun aku tidak dapat tidur lena seharian kesan perjalanan yang dilalui ini.
Pengalaman dalam bidang saham ini benar-benar memberi kesan yang besar buat kekuatan diriku, aku berusaha tenang dan menerima kerana aku yakin aku bermula dari tidak mempunyai apa-apa , merasai...dan kehilangan semula.
Maka aku harus berusaha kembali walau sekecil-kecil untuk perjalanan yang masih kehadapan.


"Harini sejak permulaan krisis kewangan US yang bermula bulan 8 tahun lepas , aku menyaksikan kejatuhan terbesar pasaran saham US, menjunam lebih 500 mata @ 4.5%, kaedaam ,menghampiri kemuncak krisis. bagiku dugaan dan cabaran terbesar telah kulalui sejak permulaan krisis. Kini, aku harus cepat, bangun kembali mengumpul dana dan bertindak segera"
                                                                                        - Catatan diari 16 September 2008


"harini hari ke-2 aku melihat pasaran saham US jatuh menjunam lepas naik sikit semalam lebih 1%, sekali lagi menjunam tertinggi  FTSE 5%. Bankrapnya antara fund manager terbesar US, Lehman Brother. Pastinya krisis ini akan ketara melanda negaraku juga dalam tempoh terdekat. Teringat kata-kata :Crisis is an oppurtunity maka aku harus mengusahakan alternatif bagi mengumpul dan dan bertindak!                                                                                          
                                                                                           -Catatan diari 18 september 2008

"Teringat petang semalam tengok cerita hindustan..Munnabhai.. satu part dalam cerita tentang anak muda yang hampir mahu bunuh diri sebab kehilangan semua duit ayahnya kerana melabur dalam saham. Tiba-tiba mengalir air mataku..turut sama kerana teringatkan peristiwa yang hampir sama yang aku lalui. Kemudian muncul watak Mahatma Ghandi memberi 2 jalan penyelesaian: berjimat cermat dan lebih mengumpul wang. So..itulah yang perlu aku mulakan kembali. Kegagalan yang aku tempuhi bukanlah bermakna aku telah gagal., cuma aku lewat sikit untuk mencapai kejayaan.
                                                                                           -Catatan diairi 28 September 2008

Rabu, 22 Mei 2013

Pemergian Yang Amat Dirasai

Tanggal 1.3.13. Tarikh yang tak mungkin dapat aku lupakan . Al-Fatihah buat Allahyarham Zukifli bin mamat. satu kehilangan yang benar-benar meninggalkan kesan yang mendalam buat diriku, keluarga dan yang lebih mendalam bagi seorang isteri dan anak-anak.
Baru kami merancang untuk ke bercuti ke Sabah bersama-sama , namun pemergiannya terlebih dahulu ke Sabah adalah yang terakhir buat kami. Teringat sewaktu mula-mula Zul berkawan dengan Aziah, Sanggup bersusah payah datang berseorangan menemani dan menjaga aku sewaktu aku dimasukkan ke Hospital di Sungai Petani pada tahun 2006. Sesiapa yang melihat dan mengenalinya pasti akan kagum dengan perwatakan dan peribadinya. ramah, suka menyakat, suka mengusik-mengusik, sangat mudah diminta tolong, sangat mudah membantu, susah nak dok diam, ada saja kerja yang dicari untuk dibuatnya, sangat penyayang dengan anak-anak, isteri, mak dan mentua..
Setiap kali balik rumah, kerap diajak keluar makan bersama-sama sekeluarga. Teringat saat kenangan manis Zul, Aziah, aku dan keluarga berjalan-jalan, sekitar pantai di terengganu, Cameron Hingland, A Famosa. Kenangan berbuka puasa tahun lepas sekeluarga di Ipoh, Aziah dengan Fara menyorok lauk bok balik untuk makan sahur..hehe..:) indah saat-saat yang berlalu bersama...
Banyak kenangan manis sekeluarga yang tak mungkin dapat dilupakan dan kenangan manis dan indah ini juga membuatkan air mata mengalir setiap kali teringat....
Teringat kadangkala pergi berjalan bersama, dengan susuk badan yang besar, Zul akan mendukung aku dengan kaedaan diriku, kadangkala bercakap aku pada Mak : takda dah orang yang boleh dukung Ijam n bawa pe jalan-jalan...:(
Pemergian Zul amat berat..namun atas ketentuanNya harus diterima.
Kerap terdetik., abang ijam...tolong jaga anak-anak.., abang ijam kena kuat...
InshaAllah Zul...abang ijam akan laksanakan amanah dan amanat ini sekuat daya abang ijam...
InshaAllah moga anak-anak Zul akan menjadi insan yang berjaya dan bangga dengan perjuangan Zul
Moga sedikit yang abang ijam dedikasikan saat ini akan mengingatkan masyarakat tentang peribadi Zul yang sangat tinggi serta perjuangan dan pengorbanan Zul terhadap tanah air tercinta..
Mudah-mudahan atas segala doa-doa yang dipanjatkan membuatkan roh Zul tenang disana dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman dan ahli syurgaNya dan juga keberkatan buat Aziah dan anak-anak disini. Doa kami sentiasa mengiringi Zul hingga akhir hayat kami..
Zul perwira & pahlawan kami...
Abang ijam sayang Zul..

Al-Fatihah...

Ahad, 19 Mei 2013

Kemuculan Idola Yang Tidak Dijangka..


Hari ini buat kali pertama Hospital Rehabilitasi Cheras dengan kerjasama Perwira K9 mengadakan aktiviti treasure hunt yang melibatkan pesakit-pesakit di Hospital Rahabilitasi Cheras dan golongan-golongan OKU  yang pernah menjadi penghuni K9 HKL. Alhamdulillah peluang dan kesempatan sebegini membolehkan aku
bertemu dan mengenali lebih ramai insan-insan yang seakan sama perjalanan dengan diriku. Menyeronokkan..aktiviti yang dijalankan dalam waktu yang singkat mengukir senyuman dikalangan kami. menjadikan suasana dengan tiba-tiba menjadi meriah dan seronok. Tamat program yang dijalankan, tidak terjangka muncul idola yang membuatkan aku teruja. Ras Adiba Radzi, aku kira satu nama yang mencetuskan semangat buat insan-insan seperti kami.
"Thank you Sis short but very meaningful.."
"Kearah OKU Cemerlang, Gemilang & Terbilang.."

Sabtu, 18 Mei 2013

Sister Om





Sister Om - 15 Mei 2013

Hari ini ketika aku sedang melakukan fisioterapi aku memerhati makcik sebelah aku yang sedang berjalan dengan peralatan bantuan. Setelah berberapa ketika melihat aku merasakan seakan aku mengenali wajah ini. Serta merta aku menegur Jan (fisio yang telah lama sejak aku di HKL) : Jan..muka macam sister Om, Jan : Sister Om la ni. Ya Allah terusik hati aku . Sister Om...orang yang banyak menolong aku memasuki wad K9 HKL, yang telah membantu mengubah aku sehingga seperti sekarang. orang yang telah menjaga dan memberi sokongan kepada diriku sepanjang aku berada di K9 Hkl pada tahun 2008. memeratikan Sister Om membuatkan aku menjadi sebak. Sister Om mengalami strok setelah pembedahan yang dilaluinya
Berkesempatan berhubung dengan pakcik(suami Sister Om) katanya lama dah Sister Om tak balik Perlis, teringin nak balik cuma dengan kaedaan masih belum berkesempatan.
Ya Allah mudah-mudahan kesihatan Sister Om bertambah baik untuk insan yang amat baik dan berjasa ini.


Ahad, 12 Mei 2013

Selamat Hari Lahir ke-55tahun buat Mak


Selamat Hari Lahir Mak..Khalipah Binti Mahamedisa. Semoga Mak dikurniakan dan dipanjangkan kesihatan yang baik, ketenangan, keceriaan dan kebahagiaan serta terus dan bertambah rezeki Mak, anak-anak dan cucu-cucu. Terima kasih Mak kerana membesarkan dan mendidik kami anak-anak dengan segala keringat titik peluh, dugaan dan cabaran yang besar sehingga menjadikan kami insan-insan yang berjaya seperti hari ini. Segala dugaan dan cabaran yang Mak lalui sungguh besar yang kadangkala tidak berkata apa-apa, hanya air mata mengalir yang membawa erti. Mintak maaf banyak-banyak kali ini tak dapat bawak Mak keluar makan, hanya mampu berjaga dikatil pesakit mendoakan agar Mak terus dikurniakan kekuatan dan kesihatan meneruskan perjalanan hidup ini. Terima kasih Mak atas segala-galanya. Pengorbanan Mak amat-amat kami hargai. Kami sayangkan Mak sepenuh hati dan sehingga akhir hayat ini. Selamat Hari Lahir Mak. 'We love you very-very much'. Hanya satu dan takkan pernah ada pengganti..

Khamis, 9 Mei 2013

Hospital Rehabilitasi Cheras - 29 April 2013






Harini setelah hampir 5 tahun aku kembali masuk hospital, kali ini di Hospital Rehabilitasi Cheras setelah Rehab K9 di HKL telah ditutup. Teringat kali terakhir aku masuk wad di K9 HKL tahun 2008.
Berat hati meninggalkan keluarga di kangar, namun aku teruskan memikirkan kaedaan diriku saat ini serta sebagai tempoh bertenang buat mental dan esmosiku.
Teringat tahun 2008, salah satu sebab aku teruskan untuk mengikuti rehab di HKL kesan daripada kejatuhan ekonomi di US. Kali ini salah satu sebab yang mendorong aku untuk teruskan rawatan rehab setelah disyorkan oleh doktor adalah kerana kesedihan yang sangat terkesan yang aku rasakan perlunya sedikit waktu untuk aku kembali lebih tenang dan menerima..
Kesedihan dan kesuraman kali ini seringkali membuat air mata berlinang dan mengalir...
Semoga aku dan juga keluarga lebih tabah dan cekal menghadapi perjalanan ini..
Al-fatihah dan kesejahteraan doa buat insan yang aku sayangi yang telah kembali padaNya..Al-Fatihah...

Sabtu, 16 Februari 2013

Tahun Baru 2013


Sekejap saja masa berlalu, kini telah memasuki tahun 2013. Aku juga telah menghampiri umur 31 tahun. Rasa seakan baru berlalu zaman persekolahan dan pengajian serta zaman muda-muda. Walau usia semakin mengingkat, hati kadangkala terasa masih muda dan kadangkala ingin merasai kembali detik-detik zaman muda.
Hari ini, walau usia semakin meningkat, hidup ini banyak terisi oleh anak-anak yang semakin meningkat usia. Senyuman banyak terukir dengan telatah-telatah mereka. Rezeki ini sebahagiannya mungkin kerana dan juga untuk mereka.
Apapun, ini sebuah perjalanan, masa-masa yang ada hanya ingin dinikmati dan dihargai sebaik mungkin. Sampai masanya akan berlalu dan akan diingati. Mudah-mudahan kisah ini sebahagiannya akan diingati serta dijadikan panduan dan pedoman oleh anak-anak yang sedang membesar ini serta juga kepada mereka-mereka yang mengenali.
"As my soul heals the shame, i will grow through this pain, Allah. i'm doing all i can..to be a better man..."

(Saat ini tersenyum bersorangan didalam avanza, melihat Mak, Abah, Adik beradik dan Anak-anak menakan di gerai NOOR MALABARI)

Ahad 20/1/2013 12:46