Isnin, 27 Jun 2011

Azam Baru


2004, Aku mengambil keputusan untuk tidak melanjutkan pelajaran dalam tempoh terdekat ini. Aku tidak pasti berapa lama , mungkin lebih dari dua tahun. sebabnya :

1. Matlamat utamaku di universiti berbeza dan aku merasakan belum bersedia sepenuhnya kerana kaedaanku.
2. Mungkin juga kerana faktor itu
3. Tidak lagi mahu melihat mak dan abah susah, aku mahu berdikari sendiri walaupun kaedaan sebegini dan berazam membantu mak dan abah.
4. Mahu membina kerjaya masa depanku dahulu.

Awal tahun 2004, terdorong oleh kakak dan abang ipar yang bekerja dalam bidang insurans, disamping atas kejadian kemalangan yang telah menimpa diri, aku mengambil keputusan untuk menceburi kerjaya dalam bidang insurans. Teringat ketika itu, sewaktu mahu mengambil peperiksaan insurans MII, aku diusung dengan kerusi roda sehingga ke tingkat tiga SMK Keat Hwa Alor Setar, semata - mata bagi membolehkan aku menduduki peperiksaan insurans.

Selesai menduduki dan lulus peperiksaan insurans. Berbekalkan azam dan tekad mahu berdikari dan berjaya, aku memulakan kerjaya sebagai perunding insurans, dengan di bantu oleh kakak. Walaupun masih kurang pengetahuan dan pengalaman dalam bidang ini namun aku meneruskan tekad serta di dorong oleh kejadian yang menimpa diriku sendiri agar tidak menimpa insan - insan lain.

Hari demi hari aku dan kakak, dari satu kedai ke satu kedai, dari satu daerah ke satu daerah, sekeliling perlis sampai ke kedah, dengan niat menyedarkan masyarakat betapa pentingnya perlindungan insurans dalam menghadapi masa dan kejadian yang sukar dan tak dijangka, disamping azam untuk bangun dan bangkit kembali, aku meneruskan perjalanan ini.

Seketika dalam bidang insurans, walaupun dari kisah kejayaan kerjaya kelihatan mudah dan mengagumkan, dari sudut realitinya banyak cabaran dan dugaan yang aku hadapi dalam melibatkan diri dalam bidang ini, ditambah dengan kaedaan diriku. Namun bagiku, segala cabaran dan ujian yang aku hadapi ini, aku anggapkan sebagai proses pembelajaran dan pengalaman yang berguna untuk meneruskan masa depan nanti.

Saat yang paling menyentuh hatiku sepanjang melibatkan diri dalam bidang insurans adalah apabila aku menyerahkan sekeping cek kepada waris salah seorang pelangganku yang meninggal secara mengejut. Bagiku penat dan cabaran ini akhirnya bermakna, setidaknya aku sekecil membantu seorang ibu tunggal dengan lima anak meneruskan perjalanan kehidupan dengan sekeping cek pampasan insurans meneruskan hari - hari akan datang.